KPK Logo

Siaran Media

PELUNCURAN SKUAD AGRIKOMODITI KPK PERKUKUH ADVOKASI, TARIK PENYERTAAN BELIA

20 Mei 2026 0 paparan 0 sukaan

PELUNCURAN SKUAD AGRIKOMODITI KPK PERKUKUH ADVOKASI, TARIK PENYERTAAN BELIA

1. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menganjurkan Majlis Perasmian Peluncuran Skuad Agrikomoditi pada 7 Mei 2026 (Khamis) di Ibu Pejabat MPOB, Bangi, Selangor. Majlis ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sebagai tanda komitmen Kerajaan memperkasa sektor agrikomoditi sebagai pemacu utama pembangunan negara.   

2. Sektor agrikomoditi merupakan penyumbang penting kepada eksport dan pertumbuhan ekonomi negara, di samping memacu pembangunan luar bandar, peningkatan pendapatan pekebun kecil serta kesejahteraan komuniti. Meliputi lapan komoditi utama iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biojisim dan biobahan api, sektor ini merangkumi rantaian nilai luas termasuk inovasi, produk bernilai tambah dan pembangunan ekonomi hijau.   

3. Seiring perkembangan teknologi, sektor ini kini beralih daripada persepsi 3D (dangerous, dirty and difficult) kepada pendekatan 3S iaitu Skills, Sustainable dan Safety. Perubahan ini mencerminkan realiti sektor yang semakin moden, berkemahiran tinggi, berteraskan kelestarian serta menitikberatkan keselamatan dan profesionalisme. 

4. Penglibatan golongan belia dan pelajar amat penting bagi menjamin kelangsungan sektor ini. Mereka bukan sahaja bakal menjadi tenaga kerja berkemahiran, malah agen perubahan yang membawa inovasi dan teknologi. Melalui pendedahan, latihan dan pengalaman, generasi muda berpotensi mengangkat sektor agrikomoditi ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing global.   

5. Program Skuad Agrikomoditi yang julung kali diperkenalkan ini merupakan cetusan idea YB Dato’ Seri Dr. Noraini binti Ahmad sebagai inisiatif strategik memperkukuh advokasi sektor. Skuad ini berfungsi sebagai platform kesukarelawanan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat melalui pendekatan rakan sebaya, pemerkasaan ilmu serta penglibatan aktif dalam aktiviti komuniti.   

6. KPK menyeru golongan belia, pelajar institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum untuk menyertai skuad ini sebagai sebahagian daripada gerakan nasional. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, malah membuka peluang membina kemahiran, jaringan industri dan pengalaman berharga ke arah menjadikan sektor agrikomoditi lebih moden, lestari dan inklusif. 

DR. NORAINI AHMAD MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 7 MEI 2026 

Artikel Berkaitan