KPK Logo

Agrikomoditi Bio Bahan Api

Industri bio bahan api Malaysia.

PENGENALAN

Perasian Projek Rintis

 

Industri Biobahan Api di Malaysia bermula pada 1980-an selaras dengan kerja-kerja penyelidikan yang diterajui oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Projek biodiesel sawit telah diilhamkan oleh Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia – PORIM (kini Lembaga Minyak Sawit Malaysia – MPOB) pada tahun 1981.

 

Penyelidikan skala makmal yang dimulakan pada tahun 1982 setelah sebuah makmal R & D Berjaya ditubuhkan pada tahun 1982.Pada Julai 1983 Jawatankuasa Pemandu Biodiesel Sawit telah dibentuk di bawah Kementerian Perusahaan Utama – KPU (kini dikenali sebagai Kementerian Perladangan dan Komoditi – KPK) untuk mengawalselia halatuju serta program penyelidikan dan pembangunan biodiesel sawit.

 

Seterusnya dengan kerjasama PETRONAS, kilang perintis biobahan api telah berjaya dibangunkan tahun 1985. Pelancaran kilang perintis biodiesel pertama di dunia ini pada 2 November 1986 telah dirasmikan oleh YAB Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia.

 

Biodiesel sawit (Palm Methyl Ester) dihasilkan untuk kajian enjin dan kajian di lapangan selama 8 tahun mulai tahun 1986 hingga 1994. Kejayaan projek ini telah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program biobahan api sawit negara. Pada bulan Ogos 2002, teknologi biodiesel sawit yang dihasilkan oleh MPOB berjaya dikomersialkan untuk menghasilkan biodiesel yang sesuai digunakan di Malaysia.

 

DASAR BIOBAHAN API NEGARA (NBP)

Untuk menyokong inisiatif ini, Kerajaan Malaysia  telah melancarkan Dasar Biobahan Api Nasional (NBP) pada Mac 2006. NBP ditubuhkan bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil yang semakin berkurangan, menggalakkan permintaan untuk minyak sawit serta menstabilkan harga pada paras yang menguntungkan. Dasar ini berlandaskan 5 teras iaitu :

  • Biobahan api untuk pengangkutan
  • Biobahan api untuk industri
  • Teknologi biobahan api
  • Biobahan api untuk eksport
  • Biobahan api untuk persekitaran yang lebih bersih

 

Objektif utama pembangunan NBP adalah untuk :

  • Mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) sejajar dengan hasrat negara ke arah mencapai sasaran pengurangan intensiti GHG sebanyak 45% KDNK menjelang 2030.
  • Strategi memperluas kegunaan produk hiliran sawit dan menjadi inisiatif untuk meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil sawit melalui mekanisma kawalan harga pasaran sawit.
  • Membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil sebagai salah satu inisiatif keselamatan tenaga.