LAWATAN KERJA YB MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI DAN YB MENTERI EKONOMI KE KLANG VALLEY DISTRIBUTION TERMINAL (KVDT): MENINJAU KESIAPSIAGAAN INFRASTRUKTUR DAN JAMINAN BEKALAN TENAGA NEGARA
LAWATAN KERJA YB MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI DAN YB MENTERI EKONOMI KE KLANG VALLEY DISTRIBUTION TERMINAL (KVDT): MENINJAU KESIAPSIAGAAN INFRASTRUKTUR DAN JAMINAN BEKALAN TENAGA NEGARA
DENGKIL, 13 APRIL 2026 – YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, hari ini telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Syarikat PS Pipeline Sdn. Bhd. (syarikat usaha sama antara Petronas Dagangan Berhad (PetDag) dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd) di Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT). Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan bahan api negara sentiasa terpelihara, di samping memperkukuh agenda diversifikasi tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global. Selain itu, lawatan ini bertujuan untuk meninjau operasi fasiliti strategik tersebut serta memperkukuh kerjasama antara Kementerian dalam memacu agenda tenaga boleh baharu negara, terutamanya dalam mendepani kesan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga dunia. Dalam suasana geopolitik dunia yang semakin mencabar, isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa. Sebaliknya, ia perlu ditangani secara menyeluruh dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara. Pusat Strategik Pengadunan Biodiesel KVDT merupakan fasiliti strategik yang menjadi nadi penyimpanan dan pengedaran petroleum negara, khususnya bagi Lembah Klang, di samping berperanan sebagai pusat pengadunan biodiesel B7 dan B10 yang utama di wilayah ini. Fasiliti ini menerima bekalan produk secara berterusan daripada loji penapisan di Melaka dan Port Dickson, sekali gus memastikan sistem pengedaran bahan api kekal teratur, cekap dan stabil. Dalam mendepani potensi gangguan rantaian bekalan bahan api fosil global, peranan KVDT menjadi semakin penting sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh sumber tenaga alternatif domestik dan menjamin kestabilan bekalan bahan api bagi kegunaan domestik di wilayah ekonomi utama negara. Komitmen Terhadap Biobahan Api Dalam sesi taklimat operasi, YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad menekankan kepentingan peranan PS Pipeline Sdn. Bhd. dalam menyokong program Biodiesel Negara. Kesiapsiagaan dalam menguruskan sumber biobahan api domestik adalah kunci untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar yang tidak menentu. Syarikat PS Pipeline Sdn. Bhd. merupakan pemegang lesen sah di bawah KPK yang bertanggungjawab bagi aktiviti mengadun dan menyimpan biobahan api. Sinergi Ekonomi dan Kelestarian YB Menteri Ekonomi, Tuan Haji Akmal Nasrullah, menegaskan bahawa operasi di KVDT merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan tenaga negara yang menyokong keterjaminan bekalan dan kestabilan ekonomi. Dalam menghadapi ketidaktentuan tenaga global, Malaysia perlu mempercepat diversifikasi campuran tenaga negara agar tidak terlalu bergantung kepada minyak dan gas semata-mata. Sehubungan itu, pengukuhan penggunaan biodiesel wajar dilihat sebagai sebahagian daripada agenda peralihan tenaga negara, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan hala tuju dalam RMK13 yang menekankan kepada peralihan tenaga boleh baharu yang mampan dan berdaya tahan. Lawatan ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Yusran Shah bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi dan YBhg. Datuk Seri Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, serta pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua Kementerian bagi memastikan aspek teknikal dan kawal selia tenaga negara berada dalam keadaan siap siaga penuh.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI DAN
KEMENTERIAN EKONOMI
13 APRIL 2026